ingat tak kisah tragedi bus Rapid yg nur tulis dulu tu..akhirnyer masuk paper..
 sebenarnyer berita ni dah lame..hari ahad lepas dah keluar..baru malam ni baru berkesempatan untuk upload..konon nyer nak cari paper metro ahad la..nak scan gambar yang de..tapi tak jumpa..so nur copy jer yang ade kat internet...
KUALA LUMPUR: Menyedihkan apabila pelajar kolej kejururawatan,  Nurzilawati Hussin, 20, yang melecur teruk akibat kejadian bas RapidKL  terbakar Khamis lalu, terpaksa melupakan hasrat untuk melangsungkan  pertunangannya Januari depan.
Mangsa yang sepatutnya menamatkan pengajian tidak lama lagi dikatakan  merancang mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Ridzuan Jusoh,  23, selepas lebih dua tahun berkenalan.
Kekasih mangsa yang ditemui di luar wad kebakaran Hospital Kuala  Lumpur (HKL) berkata, dia hanya mengetahui tragedi mengerikan yang  menimpa kekasihnya selepas dihubungi rakan mangsa.
Dia yang bekerja di Terengganu mendakwa segera bergegas datang ke HKL  untuk melihat keadaan kekasihnya yang didapati melecur teruk dari  bahagian pinggang hingga ke jari kaki.
“Keadaannya menyayat hati. Kedua-dua belah kakinya berbalut sehingga  ke bahagian punggung. Doktor memberitahu, kesan melecur terbabit  sungguh serius dan memerlukan masa sehingga dua bulan untuk sembuh  sepenuhnya.
“Namun, dia mungkin memerlukan masa lebih lama untuk penuh  sepenuhnya, apatah lagi kesan melecur terbabit turut akan menyebabkan  kesan parut kekal,” katanya sedih.
  
Menurutnya, rancangan melangsungkan majlis pertunangan berkenaan terpaksa ditangguhkan kerana Nurzilawati cedera teruk.
“Dia hanya mampu terbaring dan menahan sakit. Paling merunsingkan  apabila dia tidak dapat menduduki peperiksaan semester dua minggu lagi,”  katanya.
Nurzilawati yang ditemui di HKL berkata, dia terpaksa menjalani  pembedahan dan mungkin mengalami beberapa kecacatan kekal pada bahagian  bawah kaki.
“Tindakan undang-undang mungkin diambil bukan sebagai ganti rugi  kesakitan yang saya alami kerana rawatan yang dilakukan juga  menyakitkan.
“Malah, saya juga berharap ia menjadi pengajaran dan supaya pihak  lain juga bertanggungjawab terhadap perkhidmatan yang mereka sediakan,”  katanya.
Dua lagi mangsa ialah Nadia Husna Arshad, 20, dan Nur Aisyah Abd Samad, 20.
“Kecederaan dialami Nurzilawati dan Nadia sungguh menyedihkan.  Bayaran kos perubatan dan pampasan saja tidak memadai,” kata Aisyah yang  ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ketika mengunjungi  Nadia, semalam.
Bagaimanapun, Nadia yang masih mendapat rawatan di PPUM berharap  pihak syarikat bas mengotakan janji untuk menanggung segala kos  perubatan.
Menurutnya, kos perubatan terlalu tinggi untuk merawat kecederaan  melecur dialaminya sehingga mencecah RM300 sehari, iaitu kos membeli  sejenis ubat berbentuk krim.
“Sepatutnya, semalam (kelmarin) saya menggunakan ubat berkenaan, namun difahamkan bekalan ubat terbabit belum diperoleh.
“Jika saya mula menggunakan krim itu untuk rawatan selanjutnya, saya  sudah boleh keluar wad dan balik ke rumah. Masalahnya, penggunaan krim  perlu dilakukan secara konsisten dan kos pula terlalu tinggi (RM300  sehari) buat saya dan keluarga,” katanya.
Semalam, Nadia yang ditemani Aisyah di Wad Surgeri PPUM dikunjungi  keluarga dan sanak saudara terutamanya ibu Nadia, Siti Asar Talib, 59,  abangnya, Roslan, 40, dan Rosnizam, 30.
Rosnizam berkata, dia dan ahli keluarga lain berharap adiknya cepat pulih dan mahukan pihak RapidKL mengotakan janji mereka.
“Bagi kami, adik cepat pulih dan dapat meneruskan pengajiannya seperti biasa,” katanya.
Semalam Harian Metro melaporkan tiga pelajar kolej kejururawatan  cedera, dua daripadanya melecur teruk, selepas enjin bas dinaiki  tiba-tiba meletup, menyebabkan mereka terjatuh ke bahagian enjin yang  terbakar.